Soalan:
ASSALAMUALAIKUM doktor, saya sudah genap dua tahun berkahwin dan pernah mengalami keguguran pada 2010. Doktor sudah mengesahkan bahawa keguguran saya tidak memerlukan D&C kerana hasil imbasan menunjukkan bahawa tiada sisa yang tertinggal dalam rahim. Kitaran haid saya juga teratur serta tidak mengalami masalah selepas keguguran. Saya juga tidak mengalami masalah senggugut.
Saya ada berjumpa dengan pakar dan doktor mengatakan bahawa rahim saya dapat menghasilkan telur dengan baik. Sangat jelas kelihatan ketika imbasan dibuat.
Cuma doktor memaklumkan bahawa saya mempunyai masalah rahim yang nipis. Doktor juga sudah memberi pil untuk membantu menebalkan rahim ini. Namun saya tidak mengambilnya dengan cara yang betul iaitu setiap hari selama seminggu.
Apakah saranan doktor supaya masalah rahim nipis ini dapat dirawat dengan lebih berkesan? Terima kasih.
Ingin Tahu
Jawapan:
ASSALAMUALAIKUM puan, saya beranggapan puan sekarang adalah di bawah pengawasan doktor pakar untuk rawatan ketidaksuburan atau infertility.
Kami akan melakukan imbasan ultrasound dari vagina untuk mengukur ketebalan dinding rahim atau endometrium dan perkembangan folikel atau telur jika seseorang itu diberi ubat kesuburan. Selalunya ubat yang diberi adalah Clomiphene.
Sebenarnya, kami cuba meniru apa yang terjadi secara semula jadi. Kitaran haid wanita adalah secara purata 28 hari di mana dua minggu pertama berada di bawah pengaruh estrogen. Manakala dua minggu akhir berada di bawah pengaruh progesterone. Pada permulaan pertumbuhan folikel-folikel ini, estrogen yang dihasilkan akan merangsang dinding rahim supaya tumbuh dan menebal.
Ini amat penting untuk persediaan menerima embrio nanti. Bukan estrogen saja yang penting, peranan progesterone selepas ovulasi berlaku membuatkan lapisan endometrium atau rahim lebih tebal dan ‘spongy’. Di sini, kita lihat kedua-dua hormon memainkan peranan yang sama dan saling membantu bagi menyediakan ‘tapak semaian’.
Oleh kerana itu, jika estrogen berkurangan pada dua minggu pertama, maka dinding endometrium tidak setebal yang dikehendaki untuk implantasi embrio walaupun progesteron dihasilkan selepas ovulasi. Aktiviti progesterone memerlukan sensitiviti oleh estrogen terdahulu sebelum progesteron dapat melaksanakan tugasnya.
Dari penjelasan saya di atas, puan dapat lihat kenapa kami memberi tablet estrogen selama seminggu sebelum ovulasi terjadi bagi menebalkan dinding rahim puan yang nipis. Dinding endometrium yang tipis sukar untuk embrio melekat dan berkembang. Masalah dinding rahim tipis memang berlaku jika puan mengambil pil clomiphene.
Sifat semula jadi clomiphene iaitu anti-estrogen, maka tidak hairan kalau dinding tidak cukup tebal. Clomiphine akan memenuhi semua reseptor-reseptor estrogen pada hipotalamus dalam otak.
Hipotalamus akan bertindak balas dengan menghasilkan hormon FSH (Follicle Stimulating Hormone) dari Pituitari untuk menghasil lebih banyak lagi estrogen. Penipuan yang dilakukan oleh clomiphne menyebabkan banyak FSH terhasil dan akibatnya lebih banyak folikel-folikel atau telur dari ovari terhasil.
Maka kebarangkalian untuk hamil meningkat. Jadi saranan saya, puan perlu ikut apa yang sudah disarankan oleh doktor.
sumber
0 ulasan:
Catat Ulasan