Rabu, 13 Jun 2012

Kesedaran kanser payudara rendah

KUALA LUMPUR: Kesedaran mengenai kanser payudara di kalangan wanita adalah masih rendah walaupun terdapat banyak kempen kesedaran yang dilakukan pelbagai pihak, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. “Sikap ambil mudah dan tahap pengetahuan yang rendah terhadap kanser berkenaan juga dikenal pasti sebagai punca peningkatan kadar kematian di kalangan wanita 40 tahun ke atas selain kekal sebagai kanser pembunuh nombor satu kepada wanita di negara ini. 


 “Laporan mengenai Program Mamogram Bersubsidi oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula menunjukkan wanita berketurunan Cina paling ramai melakukan pemeriksaan payudara iaitu 67 peratus berbanding wanita Melayu; 32 peratus diikuti wanita India; 7 peratus. “Justeru, saya menyeru wanita melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan segera mendapatkan rawatan jika mengesan sebarang kelainan pada diri,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Yayasan Pink Ribbon Wellness di sini, semalam. 








Yayasan Pink Ribbon Wellness ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, penjagaan serta perkara berkaitan peningkatan kesedaran bagi kanser payudara di Malaysia. Ia bakal menyertai barisan pertubuhan Pink Ribbon lain untuk menjalankan aktiviti dalam usaha menimbulkan kesedaran terhadap pencegahan, rawatan, advokasi dan pendidikan terhadap kanser payudara.


 Selain itu Rosmah berkata, usaha yayasan itu dalam memperjuangkan kesedaran terhadap bahaya kanser payudara juga dipuji kerana melalui kempen dan aktiviti anjuran yayasan itu bukan saja dapat memberi kesedaran kepada wanita, bahkan dapat mengesan tanda-tanda awal penyakit penyakit itu. “Ia sekali gus dapat menyelamatkan lebih banyak wanita di negara ini. Selain itu, peratusan untuk memerangi kanser ini adalah jauh lebih tinggi sekiranya ia berjaya dikesan di peringkat awal,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes