Selasa, 13 Mac 2012

Risau lendir anak perempuan

Kuman, kurang hormon estrogen punca discaj 

ASSALAMUALAIKUM doktor,


SAYA mempunyai anak perempuan berusia tujuh dan empat tahun. Saya dapati kedua-dua anak saya mengalami lendiran atau cecair berwarna kekuning-kuningan di seluar dalam mereka.

Saya dapati ada masa, kesan lendiran berkenaan agak berbau. Pernah saya membuat pemeriksaan sendiri ke atas anak saya sulung, didapati vaginanya mengeluarkan bau agak kuat dan agak kemerah-merahan. 

Kedua-dua mereka mengadu mengalami kegatalan. Saya pastikan mereka mencuci vagina setiap kali mereka membuang air kecil. 

Adakah perkara ini normal bagi usia semuda mereka? Atau berlakunya jangkitan kuman dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Sila bantu saya kerana ia adalah aset penting apabila mereka dewasa kelak. 

Terima kasih. 
Miah, Tanjung Kling, Melaka 

ASSALAMUALAIKUM, 

MASALAH discaj ini, saya fikir sering berlaku pada kanak-kanak yang belum balikh. Tetapi tidak ramai ibu bapa yang membawa anak mereka berjumpa doktor untuk nasihat dan rawatan. Kebiasaannya, discaj ini berwarna kuning disertai dengan kulit di bibir faraj kemerahan dan gatal. 

Ada beberapa sebab ia senang terjadi pada kanak-kanak ini. Pertama, ia persoalan kebersihan pada bahagian sulit. Ini perlu diajar dari kecil. Selepas ke tandas, cara yang baik untuk mencuci bahagian bawah adalah dengan mencuci dari arah depan ke belakang dan bukan sebaliknya. 

Ini bertujuan bagi mengelak najis dari dibawa ke depan dalam vagina dan pundi kencing. Selepas itu lap hingga kering. Kalau digunakan pencuci, elak sabun terutama yang berparfum. 

Segelintir kanak-kanak boleh mengalami allergi atau alah pada bahan kimia berkenaan. Pencuci yang baik antaranya Lactasyd dan Sebamed yang mempunyai pH sama seperti kulit manusia. 

Selepas itu, lap hingga kering. Seluar dalam yang baik jika mempunyai alahan atau kegatalan pada bahagian bawah adalah jenis kapas. Elak memakai seluar yang ketat kerana boleh menyebabkan perpeluhan. 

Kedua-dua discaj ini boleh disebabkan jangkitan kuman. Discaj dari jangkitan kuman selalunya banyak dan berbau. Contohnya ialah Candida. Candida boleh menyebabkan seseorang mengalami discaj yang berketul dan gatal. 

Tetapi bagi kanak ini adalah amat jarang terjadi. Ini lebih pada golongan dewasa terutama yang mengandung. Kuman lain boleh juga menjangkiti vagina dan memerlukan penyiasatan bagi memastikan punca sebenar. 

Kadangkala cacing kerawit dan benda asing seperti pasir boleh masuk ke dalam vagina dan menimbulkan masalah discaj ini. 

Dari pengalaman saya, ada kes-kes kanak-kanak yang dibawa oleh ibu mereka kerana discaj pada seluar dalam. Ujian bacteria kebanyakannya negatif. Discaj yang bukan berpunca dari jangkitan kuman adalah disebabkan oleh kekurangan hormone estrogen pada kanak-kanak ini. 

Ada dua peringkat umur di mana seseorang itu akan mengalami kekurangan hormone estrogen iaitu semasa zaman kanak-kanak dan menopos. Akibatnya vagina akan menjadi kering. Lapisan dinding vagina menjadi nipis dan sedikit jangkitan kuman akan menyebabkan discaj kuning dan kadangkala perdarahan. 

Tambahan lagi perlindungan semula jadi vagina iaitu asid amat berkurangan. Ini mengakibatkan mudah vagina dijangkiti. Jika kekurangan estrogen adalah puncanya rawatan yang kami beri adalah sedikit krim estrogen untuk disapukan dan bukannya antibiotic. 

Puan tidak perlu khuatir mengenai masalah ini kerana ia bersifat sementara di mana apabila ovari mula aktif, masalah akan hilang. Jika puan risau bawalah anak puan berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.  

Kerap hamil jejas tulang

MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.
Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.
Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.
Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.
Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.
Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.
Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.
“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.
Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.
Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

MINUM banyak susu dapat menambah bekalan kalsium ibu hamil.


Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.
Berpantang
“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.
“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.
Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.
Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.
Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.
TULANG rapuh disebabkan kalsium di dalamnya telah diserap oleh tubuh.


“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.
“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.
Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.
Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.
“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.

Tindak Balas Sistem Imun

Di dalam badan kita ada sistem perlindungan yang sangat menakjubkan, ia dikenali sebagai sistem imun, yang dicipta untuk melindungi kita dari berjuta-juta bakteria, mikrob, virus, toksin dan parasit yang sentiasa menyerang tubuh kita.

Mengikut David Liaw, seorang pengamal terapi holistik, sistem imun adalah sesuatu yang kompleks, sangat rumit, dan menakjubkan. Mengetahui cara untuk memastikannya seimbang adalah kunci kepada pemulihan kesihatan. Menurut beliau lagi sistem imun adalah sangat penting dalam usaha untuk menggalakkan kesihatan yang baik. 

Kajian mengenai sistem imun telah lama dijalankan, tetapi sejak berlakunya epidemik AIDS kajian mengenai sistem imun mendapat perhatian. 

"Anda adalah sebaik sistem imun anda. Penyerapan, metabolisma, homeostasis, dll tidak dapat berfungsi dengan baik jika kesihatan sistem imun terjejas untuk jangka masa tertentu." 

Berikut adalah beberapa petikan dari temubaul antara Gerald Chuah dengan David Liaw mengenai kepentingan sistem imun dan bagaimana menggunakan makanan semulajadi dan nutrisi untuk mengembalikan kesihatan optimum diri seseorang. 

Soalan: Apakah kajian saintifik terkini dan penemuan mengenai sistem imun? 

Tekanan, pemakanan yang tidak sihat, dan pencemaran alam sekitar dikenalpasti sebagai faktor utama yang memberi kesan ke atas sistem imun. Berbagai kajian telah dijalankan untuk mengetahui impak pemakanan ke atas sistem imun dan mekanisma di dalam usus kecil. 

Bagaimana kita mengasimilasikan makanan kita dan persekitaran mempunyai kesan yang mendalam ke atas tali perut kita. Kajian menunjukkan bahawa tali perut kita menempatkan komponen imun yang terpenting ia itu sistem limfoid, yang memainkan peranan besar dalam penyelarasan sistem imun yang lain dengan fungsi kawal selia tubuh kita. 

Soalan: Sebelum ini kurang perhatian diberi kepada sistem imun, kenapa penekanan yang besar diberikan sekarang? 

Peningkatan ketoksikan, peningkatan jumlah kanak-kanak yang menunjukkan gejala penyakit seperti hipertensi, kolesterol tinggi, diabetes, dll adalah pola pemberitahuan. Di samping itu penularan selsema burung dan selsema babi meletakkan orang ramai dalam kewaspadaan yang tinggi. 

Soalan: Apa faktor dalaman dan luaran yang memberi impak kepada sistem imun kita? 

Tekanan fizikal dan psikologikal berterusan yang berpunca dari gaya hidup, emosi, dan sistem kepercayaan; ketoksikan sama ada dari pencemaran udara, makanan, dan air; dan pemakanan dan ubat-ubatan, mempunyai kesan langsung ke atas fungsi imun usus kecil. 

Soalan: Apa yang akan berlaku bila sistem imun kita terjejas atau gagal berfungsi? 

Ramai yang tidak sedar bahawa sistem imun kita sentiasa bekerja keras, setiap saat 24 jam sehari, untuk mengawal dan mengimbangi pelbagai spesis biotik badan seperti bakteria dan fungus. Ia hidup di dalam badan kita, bekerja untuk kita, dan jumlahnya lebih banyak dari sel kita sendiri. 

Kebanyakan dari kes kronik yang kita hadapi hari ini berlaku apabila sistem imun kita terpicu berlebihan, berkurangan, atau tidak berfungsi; dari selsema, alergi, sindrom kelesuan kronik, pelbagai jenis masalah penghadaman; ke masalah auto-imun kronik seperti arthritis, diabetes jenis 2, Lupus, dan lain-lain alergi. 

Soalan: Apakah tanda-tanda awal dan gejala? 

Bermula dengan benigna, yang ramai tidak ambil peduli atau tolak ke tepi. Ia menjejaskan fungsi harian kita seperti masalah buang air besar, sakit kepala, perubahan berat badan dan selera makan, ketagihan, susah tidur, mudah marah, masalah kulit, perasaan tidak menentu, dan kemurungan. 

Beri perhatian kepada tubuh anda, jika anda peka anda akan tahu. Ianya sesuatu yang tidak biasa berlaku, dan kekerapannya bertambah dari hari kesehari. Jangan biarkan sehingga anda sakit teruk.Di zaman ini, tiada had umur bagi mengalami kecelaruan imun. 

Soalan: Bagaimana untuk menterbalikkan keadaan kesihatan yang tidak baik kepada yang baik. 

Secara ringkasnya, cari punca masalah. Memandangkan ketoksikan dan tekanan merupakan punca utama, detoksifikasi adalah penting. Buang tekanan fizikal dan mental, pulihkan semula sistem imun, demi untuk mengekalkan kesihatan yang baik. 

Dari temubual tadi dapatlah disimpulkan bahawa untuk memulihkan penyakit dan mengembalikan kesihatan optimum, kita perlu mencari punca masalah dan menyelesaikannya, antaranya dengan melakukan detoksifikasi dan memulihkan kesihatan sistem imun. 


Dipetik dari temubual Gerald Chuah, wartawan The New Straits Times, dengan David Liaw, pengamal terapi holistik yang mendapat latihan terapi nutrisi dan terapihipno di United Kingdom. 

Sabtu, 10 Mac 2012

Larian maraton rosakkan jantung

SEBELUM ini ramai yang percaya bahawa jika kita melakukan aktiviti olahraga secara teratur, kita dapat dapat mengekalkan kesihatan tubuh. Namun, terdapat beberapa aktiviti kecergasan yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Kajian oleh Universiti Melbourne, Australia baru-baru ini mendapati mereka yang melakukan aktiviti ekstrem seperti larian maraton dan memanjat gunung mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit jantung.
Dalam kajian ke atas 40 orang atlet, pengkaji mendapati mereka yang aktif melakukan sukan tersebut menunjukkan tanda-tanda kerosakan pada bahagian ventrikel kanan jantung dan kerosakan fibrosis pada otot jantung.
Penemuan tersebut disiarkan di dalam European Heart Journal.

Aktif bersenam pintar matematik

BIJAK dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.
Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.
Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.
Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.
Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.

MATEMATIK memerlukan tumpuan yang lebih untuk menguasainya.


Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.
Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.
Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.
Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.

Ereksi petunjuk kesihatan

SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.
“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.
Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.
Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.
Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.
“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.
Tahap
“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.
“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.
“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.
Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.

ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.


Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.
Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.
“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.
“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.
“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.
Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.
Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.
“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.


sumber : Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my

Bagaimana untuk menambah berat badan ?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dalam kehidupan masa kini.ada sesetengah orang yang risau apabila dirinya terlalu kurus. Sebab bila terlalu kurus ia senang mendapat penyakit. Bukan orang yang terlalu berisi senang dapat penyakit, orang yang terlalu kurus pun mudah. Ia berlaku mungkin kerana genetik pada diri yang memang akan kurus. Mungkin juga kerana masalah terhadap penyerapan dan pencernaan makanan atau disebabkan jumlah pengambilan kalori serta zat dalam diet pemakanan yang tidak lengkap.

Jadi bagi yang kurus dan semakin risau kerana berat badan tidak seimbang dengan ketinggian, mungkin boleh cuba amalkan cara tertentu. Antara perkara yang anda boleh buat untuk berusaha menambah berat badan:

1. Penting untuk mengambil banyak makanan yang tinggi kalori, protein dan garam galian.
- Caranya:

- Gantikan nasi dengan roti. Roti mempunyai kalori lebih besar berbanding nasi atau boleh mengambil nasi dan sejam kemudiannya roti.


2. Jangan tinggalkan waktu makan dan seelok-eloknya makan tiga hidangan utama bersama dua atau tiga hidangan snek sehari.

- Caranya:
- Pilih snek yang tidak mengandungi bahan kimia dan pengawet berlebihan. Digalakkan mengambil snek seperti sandwich, kekacang, biskut, minuman bersusu, jus, keju, buah-buahan kering dan kentang lenyek.

3. Makan secara kerap. Jika tidak mempunyai selera makan, boleh makan lima atau enam hidangan kecil sehari.
- Caranya:
- Ambil hidangan yang sihat. Amalan mengambil makanan ringan bukan sahaja menambah lemak yang tidak sihat, tetapi melambatkan proses metabolisme tubuh.

4. Pada waktu pagi, ambil makanan yang mempunyai sumber karbohidrat dan protein tinggi.
- Caranya:
- Minum satu gelas susu pada setiap hari,roti atau telur separuh masak. Hindari makanan yang mengandungi banyak lemak.

5. Melakukan senaman secara teratur.
- Caranya:

-Lakukan senaman-senaman bina badan, angkat berat dan tekan tubi untuk membina otot badan 30 minit setiap tiga atau empat kali seminggu. Pastikan yang bertambah adalah otot bukan lemak ketika proses menambah berat badan. 


6. Selepas selesai senaman, boleh gantikan tenaga yang keluar dengan mengambil makanan yang berkalori tinggi.

- Caranya:

- Ambil makanan yang mempunyai sumber protein dan karbohidrat. Ini untuk menggantikan kandungan gula dalam badan yang telah dikeluarkan sewaktu melakukan senaman.
7.Mengamalkan pemakanan mengikut panduan piramid pemakanan Malaysia.
- Caranya:

- Lebihkan pengambilan hidangan bagi setiap kumpulan makanan kecuali gula, minyak dan lemak dalam makanan. 


8. Sokongan makanan tambahan.

- Caranya:


- Contohnya vitamin B yang membantu mencerna nutrisi yang diambil
.

# Jadi kepada yang terlalu kurus boleh cuba amalkan. Mana tahu menjadi ke....... Selamat mencuba!

Sumber dari www.dara.com

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes